Ahad, 9 Februari 2014

Bahaya Aedes!! Bahaya Denggi..

Innalillahi wa inna ilaihi raaji'uun.. Tanggal 8 Fabuari 2014, terdetik di hati aku ni nak pergi melawat sepupu aku di hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.. Tanggal tarikh itu jugalah tepat pukul 6.30, aku dimaklumkan doktor bahawa sepupuku itu telah kembali menghadap Ilahi akibat penyakit yg dihidapinya itu iaitu demam denggi berdarah.. Allahu Akbar..

Demam Denggi merupakan sejenis penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus Denggi (genus Flavivirus) yang disebar oleh nyamuk Aedes betina. Cara penyebarannya ialah melalui gigitan nyamuk aedes orang yang berpenyakit virus denggi kepada orang yang sihat. Terdapat dua jenis denggi yang paling berat iaitu Demam Hemoragik Denggi (DHF) dan Sindrom Kejutan Denggi (DSS).


Virus Denggi akan terpendam di dalam badan pesakit selama 3 - 14 hari (purata 4 hingga 6 hari) sebelum menunjukkan tanda-tanda. Pesakit mungkin akan mengalami demam mengejut diikuti dengan berbagai-bagai tanda dan gejala tidak khusus.

Denggi dan denggi berdarah merupakan penyakit febril akut (acute febrile), dijumpai di kawasan tropika, dengan taburan geografi serupa dengan malaria. Disebabkan oleh satu daripada empat virus serotype yang berkait rapat dari genus Flavivirus, famili Flaviviridae, setiap serotype cukup berbeza menjadikan tiadanya perlindungan bertindan (cross-protection) dan wabak denggi yang disebabkan oleh pelbagai serotype (hyperendemicity) boleh berlaku. Denggi disebarkan kepada manusia oleh nyamuk Aedes aegypti (hanya kadang-kala oleh Aedes albopictus).

Tanda dan gejala...

Demam denggi bermula dengan demam mengejut, dengan sakit kepala teruk, sakit di belakang bebola mata, sakit sendi dan otot (myalgias dan arthralgias, sakit pinggang yang teruk menyebabkan ia juga digelar demam tulang-pecah - break-bone fever) dan gatal-gatal. Ciri-ciri keradangan demam denggi adalah bintik-bintik merah terang, dan biasanya muncul di anggota bahagian bawah - pada sesetengah pesakit, ia merebak hampir kepada keseluruhan tubuh. Tanda pada kulit yang klasik ialah seluruh kulit tubuh bertukar kemerahan diselangi dengan tompok-tompok kulit warna yang normal (island of white in a sea of red). Kemungkinannya terdapat gastritis dengan gabungan sakit perut, mual, muntah atau cirit-cirit. Pesakit juga boleh mendapat radang hati, radang otak (lebih pada kanak-kanak) dan juga dalam kes luarbiasa radang otot jantung (cardiomyopathy).


Demam denggi klassik berlarutan selama enam hingga tujuh hari dengan demam kembali memuncak pada akhir demam (dikenali sebagai pola biphasic). Secara klinikal bilangan sel darah pembeku (platelet) akan turun sehingga hilang demam diikuti dengan kehilangan bendalir plasma darah dari salur darah ke dalam tisu perantara atau ruang ke tiga (third space loss di antara selaput paru-paru, ruang peritoneum dan sebagainya), kerana kapilari darah menjadi rapuh (capillary fragillity). Pada peringkat ini pesakit terdedah kepada renjatan dan risiko perdarahan.

Kes DHF juga menunjukkan demam tinggi, fenomena pendarahan, trombositopenia (thrombocytopenia) dan haemoconcentration. Sebahagian kecil kes membawa kepada sindrom kejutan denggi (dengue shock syndrome) atau DDS yang mempunyai kadar kematian yang tinggi.